Sunday, August 30, 2009

Herba Kuat

HERBAL DAN TUMBUHAN UBATAN

M.SALIM MASRAH

A 58692

PENDAHULUAN

Penggunaan tumbuhan dan herba sebagai ubat dalam masyarakat di Malaysia khasnya masyarakat Melayu telah memakan zaman. Tradisi ini sejajar dengan keistimewaan Bumi Malaysia sebagai sebuah negara kaya dengan pelbagai Flora. Khazanah ini sebenarnya telah lama menyimpan rahsianya sendiri khasnya dalam bidang perubatan. Jauh daripada itu Bumi Malaysia yang indah ini sebenarnya mempunyai 7000 spesies tumbuhan yang telah di cam dapat menyumbangkan dalam bidang perubatan . Namun begitu, kini amalan dan tradisi asalnya telah banyak diperkaya oleh interaksi pelbagai budaya yang dialami oleh masyarakat kita di Malaysia. Sementara dari segi kaedah penggunaannya juga berbeza.

Masyarakat Melayu Islam misalnya, mempunyai kaedah yang begitu halus dalam menggunakan tumbuhan sebagai ubat. Pengalam perubatan ini, akan mematuhi tata tertib tersebut berasaskan kepada apa yang telah mereka pelajari.

Menyentuh dari segi penggunaan tumbuhan sebagai ubat, ada pengamal berpendapat bahawa Allah telah melengkapkan tumbuhan itu sebagai ubat bagi penyakit-penyakit tertentu atas fitrahnya. Sebagai contohnya pucuk daun busuk-busuk boleh digunakan bagi mengelakkan darah terus keluar akibat gigitan pacat dan akan sembuh tanpa rasa gatal. Dengan hanya mengentel pucuk daun ini hingga hancur dan gosokkan pada kesan gigitan pacat tadi dan pupukkan bakinya di atas tempat gigitan itu. Ini yang dikatakan khazanah yang amat berharga.

Dalam penulisan ini kebanyakan daripada tumbuhan yang dinyatakan nanti adalah daripada jenis herba dan tumbuhan yang lazim di dapati. Antaranya ialah seperti berikut di bawah.

ARA SONGSANG

Acanthaceae

Asystasia coromandeliana

Ara Songsang/Rumput Israel

Pengenalan

Asytasia coromandeliana ialah rumput liar yang tumbuh di merata di sekitar kawasan yang terbiar atau di kebun-kebun. Tumbuhan ini tumbuh dengan subur terutama di tanah berpasir dan kawasan yang agak redup. Daunnya bersaiz kurang daripada 3 cm lebar dan 5 cm panjang. Manakala batangnya agak lembut dan berair serta bunganya berwarna putih.

Tumbuhan ini tumbuh menjalar atau tegak. Kebiasaanya dijumpai di bahagian utara Semenanjung, di kawasan berpasir.

Kegunaannya

Asystasia coromandeliana ini biasanya diguunakan untuk melawaskan buang air kecil sekiranya herba ini dimakan atau diminum air rebusannya. Pada setengah orang pula herba ini digunakan juga bagi mengubati bengkak-bengkak dan luka dengan menampalkan daun yang telah dihancurkan.

Daunnya boleh digunakan bersama dengan paku merak seterusnya digosok pada badan untuk mengubati bisa tulang dan sakit-sakit otot. Diketahui juga hasil dapatan orang lain, akarnya dikunyah bersama pinang mujarab bagi mengubati batuk. Jus dari daun untuk merawat mata kabur dan daun juga digunakan bersama bawang sebagai sapuan untuk merawat kejang otot.

BETIK

Caricaceae

Carica papaya

Betik

Pengenalan

Pokok ini merupakan tumbuhan separa berkayu, sederhana tinggi dan besar. Disamping itu tumbuhan ini mempunyai batang bertompok-tompok bekas tangkai gugur dan berongga. Dari segi ketinggiannya tumbuhan ini mencapai 7 m manakala berdiameter di antara 10 – 13 cm.

Tumbuhan ini mempunyai akar yang lembut dan kelihatan seperti lobak manakala daunnya bercabang dan runcing di hujungnya serta terkeluar di hujung batang. Bunganya berwarna putih, manakala buahnya berwarna hijau dan kuning atau kuning kemerahan apabila masak kelak. Bijinya pula berwarna hitam keperangan dan ditanam serta akan tumbuh meliar di kawasan kampung yang bertanah lembab.

Kegunaan

Daun Carica papaya ini dikatakan mengandungi papain, yang boleh digunakan untuk membungkus daging selama satu jam bertujuan untuk melembutkannya. Daunnya juga boleh diambil airnya dan diminum untuk tujuan menguruskan badan, melancarkan haid, serta sebagai penahan sakit dan jangkitan. Selain itu, daunnya juga dijadikan rokok untuk merawat asma, sementara ekstrak dari daun boleh digunakan sebagai julap.

Buah Carica papaya merupakan sumber vitamin C dan dapat membantu pencernaan, manakala jus daripada buah boleh diambil sebagai bahan kosmetik bagi menghilangkan bintik-bintik hitam atau ketuat di muka dan melegakan sakit akibat terbakar. Biji tumbuhan ini pula digunakan untuk merawat malaria, kanser, kuatil dan buasir. Ia juga dijadikan ramuan ubat “param” untuk wanita selepas bersalin, iaitu dicampur air suam dan disapu pada perut.

Resin yang didapati dari biji digunakan untuk mengeluarkan cacing dari usus. Manakala pucuknya dimakan sebagai ulam mentah, juga dipercayai boleh menurunkan tekanan darah tinggi dan merangsang pengeluaran susu ibu. Ia juga dijadikan tonik untuk melancarkan penghadaman. Sakit seperti sengal otot boleh dirawat dengan mengambil alkohol yang diekstrak daripada pokok betik betina.

Sumber lain mengatakan bahawa biji dan betik muda boleh menyebabkan keguguran. Berasal dari Amerika Tengah.

GELENGGANG BESAR

Leguminosae

Cassia alata Linn

Gelenggang Besar

Pengenalan

Tumbuhan Cassia alata Linn mempunyai batang yang berwarna hitam, lembut dan bertompok putih, berdiameter di antara 5 – 6 cm manakala ketinggiannya boleh mencapai 3 cm.

Daunnya adalah jenis majmuk pinat dalam susunan bertentangan, dengan urat daun berwarna kuning keorenan, mempunyai bau busuk dan terdapat parut pada tangkai daunnya. Bentuk daun bujur, bulat di hujung dan lebar di pangkal. Manakala bunganya bergugus dalam satu jambak dan berwarna jingga. Lengai mempunyai kulit yang tebal, berbentuk bujur dan bersayap di tepi. Dan mempunyai biji antara 50 – 70 serta bersaiz kecil dan berwarna hitam. Akarnya adalah berwarna hitam.

Pokok jenis renik ini kebiasannya ditemui di tepi jalan, dikawasan rendah, berpaya dan kawasan kampung yang lembab.

Kegunaan

Tumbuhan Cassia alata Linn ini boleh mengubati penyakit kulit seperti kurap, kudis dan panau dengan kaedah mengikis permukaan kulit yang dijangkiti. Kemuduiannya ramas daunnya bersama minyak tanah dan kapur, lalu digosok pada bahagian yang terkena jangkitan.

Manakala daunnya juga boleh dimakan sebagai ulam bagi merawat sembleit dan digunakan bagi membalut tungku bagi kegunaan selepas wanita bersalin. Tumbuhan ini juga didapati mujarab untuk merawat sembelit, penyakit cacaing serta ulser mulut (seriawan mulut)

Kajian sanitifik mendapati ia mengandungi chrysophanol, emodin, allo-emodin, tannin dan rhein yang bersifat antifungal.

JELAI

Ophioglossaceae

Helminthostachys zeylanica (L) Hook.

Jelai / Tunjuk Langit.

Pengenalan

Herba Helminthostachys zeylanica (L) Hook merupakan tumbuhan rumpai jenis resam. Tumbuhan ini menjalar dengan batangnya mempunyai diameter sehingga 1 cm, dan berwarna perang, lembut serta lurus. Manakala daunnya tersusun spiral dan berpelepah. Mempunyai tangkai spora yang panjang seperti benang dipintal, menunding ke langit dan mengeluarkan spora berwarna coklat susu.

Helminthostachys zeylanica (L) Hook mempunyai akar yang serumpun, berwarna merah dan memiliki rasa lemak. Ia mudah tumbuh di kawasan lembah yang lembab dan agak teduh. Kebiasannya herba ini boleh didapati berhampiran dengan kampung dan kebun kecil getah di bahagian utara Semenanjung.

Kegunaan

Pokok Helminthostachys zeylanica (L) Hook ini boleh dicampur dengan pokok ubatan lain dan direbus, kemudiannya airn rebusan itu diminum. Ia juga dijadikan sebagai sebagai campuran untuk membuat ubat periuk bagi wanita selepas bersalin. Manakala pucuknya dijadikan sayur dan kadang kala dimakan bersama sirih. Jauh daripada itu rizomnya pula digunakan untuk merawat batuk, penyakit siplis, caranya dimakan bersama sirih dan juga dijadikan tonik. Bagi batangnya yang tua pula boleh digunakan untuk menganyam tikar

LENGKUAS

Zingiberacea

Alpinia galanga Sw.(Lengkuas galanga, stuntz)

Lengkuas.

Pengenalan

Herba keluarga halia ini tumbuh secara berumpun dan mempunyai saiz yang agak besar. Daun dan pelepahnya berwarna hijau. Manakala bunga dan buahnya bergugus di hujung batang. Bunga berwarna putih dan buahnya pula boleh menjadi hijau apabila tua.

Herba Alpinia galanga Sw. (Lengkuas galanga, stuntz) ini membiak melalui rizom yang agak besar. Isi rizomnya akan berwarna kuning keputihan. Herba ini tumbuh secara meliar, namun mudah didapati kerana ia merupakan jenis halia yang sering ditanam oleh penduduk kampung khasnya. Kini rizomnya mudah didapati di pasar, terutamanya di bahagian yang menjual sayur-sayuran kampung.

Kegunaan

Tumbuhan ini masih meluas digunakan oleh masyarakat terutamanya di Malaysia sebagai campuran dalam masakan serta rempah ratus dan ubatan. Tumbuhan ini telah dikenali sejak beribu tahun yang lampau sebagai rempah. Manakala rizomnya digunakan untuk merawat penyakit berkenaan dengan penghadaman, cirit-birit dan sejuk di dalam badan.

Selain itu, tumbuhan ini juga digunakan bagi merawat demam yang berulang-ulang pada seseorang. Kini lengkuas telah digunakan dalam bentuk kapsul begi menghuilangkan mabuk laut atau mabuk perjalanan . Ini adalah satu kaedah yang perlu diteruskan kepada jenis herba yang lain

MISAI KUCING

Labiates

Orthosiphon granddiflorus (sinonim: O. stamineus)

Misai Kucing

Pengenalan

Pokon herba Orthosiphon granddiflorus (sinonim: O. stamineus) ini mempunyai batang berwarna hijau perang dan sedikit berbulu. Dari segi ketingginanya, tumbuhan ini mencapai antara 30 cm – 60 cm dan berdiameter di antara 0.5 – 0.8 cm. Jneis daun yang bertentangan, berwarna hijau kebiruan dan bergerigi di tepi.

Bunganya pula bertingkat secara memanjnag dalam bentuk jambak dan berwarna putih serta kemerahan sedikit. Pistil dan stamen menjulur keluar dari corong bunga dan buahnya didapati di dalam bunga.

Tumbuhan ini timbuh di kawasan terbiar di sekitar perkampungan, terutamanya di tepi jalan, tali air dan kebun. Pokok ihni dikatakan berasal dari Indo- Malaya.

Kegunaan

Daun Orthosiphon granddiflorus (sinonim : O. stamineus) ini boleh dicampurkan dengan pokok ubatan lain, dengan cara daunya diramas dan ditampal pada bahagian yang dijangkiti penyakit kulit. Air rebusan pokok ini digunakan untuk merawat batu karang di pundi kencing.

Tumbuhan ini juga digunakan untuk merawat kencing manis dengan cara merebus bersama Hempedu Bumi. Dua atau tiga kali daun direndam di dalam air panas, dan dibiarkan hingga suam dan diminum bagi merawat darah tinggi. Selain itu daunnya juga boleh digunakan untuk melawaskan buang air kecil.

POKOK LETUP-LETUP

Passiflora foetida

Pokok Letup-letup

Pengenalan

Tumbuhan Passiflora foetida ini sering juga ditemui sebagai tanaman penutup bumi di ladang getah atau kelapa sawit. Habitat tumbuhan letup-letup ini sememangnya mudah hidup di kawasan-kawasan tanah terbiar. Walaupun habitatnya di kawasan terbiar, tetapi ia mempunyai khasiat yang baik pada sudut perubatan herba. I a tumbuh secara menjalar. Daun berwarna hijau serta lebar.

Kegunaan

Tumbuhan ini sesuai untuk merawat gatal-gatal kulit, luka dan batuk. Oleh itu tumbuhan ini adalah sesuai untuk penjagaan kesihatan. Bagi merawat gatal-gatal kulit, beberapa batang pokok letup-letup diperlukan. Iaitu ambil seluruh pokoknya, termasuk dengan akar nya sekali. Buangkan segala kotoran yang ada pada pokok itu terlebih dahulu. Kemudian rebuskannya sehingga ia menididh. Tunggulah ia suam sedikit sebelum mengambil airnya untuk digunakan sebagai air basuhan.

Dalam merawat luka, caranya adalah dengan menggunakan beberapa helai daun yang dilumatkan. Daun yang telah dilumatkan itu, dipupuk pada bahagian yang luka tersebut. Manakala bagi marawat batuk pula, dengan merebuskan beberapa batang pokok letup-letup ini. Air rebusan seluruh pokok tersebut hendaklah diminum airnya setelah air itu suam.

SELDERI

Umbelliferae

Apium graveolens

Selderi

Pengenalan

Herba Apium graveolens mempunyai batang berpelepah hijau, walaupun bersegi tetapi licin dan berkilat. Tumbuh sehingga 50 cm dan mempunyai bunga yang agak kecil. Manakala buahnya pula mempunyai biji halus berwarna coklat kehitaman apabila masak.

Selderi ditanam daripada biji benih yang diimport. Walau bagaimanapun, daun selderi telah diterima sebagai sayuran atau perencah masakan di Malaysia. Ia mudah didapati di pasar dan pasar raya.

Kegunaan

Biji selderi ini merupakan satu daripada ramuan rempah ratus. Umumnya, keseluruhan pohon selderi ini digunakan untuk perubatan. Khasiatnya pula ialah boleh merawat sengal-sengal tulang dan gout. Ia membantu mengeluarkan bahan buangan daripada badan serta mengurangkan keasidan badan.

Khasiat bijinya yang lain ialah boleh melawaskan kancing, mempunyai nilai antiseptik serta boleh menghuilangkan infeksi pundi dan saluran kancing. Dan selderi ini juga boleh merendahkan tekanan darah dan mencegah sengal-sengal tulang.

SERUNTUM

Menispermaceae

Tinospora tuberculata, Beumee.

Seruntum / Petawali.

Pengenalan

Tumbuhan Tinospora tuberculata, Beumee merupakan sejenis pepanjat yang melilit untuk memanjat. Daunnya berbentuk hati seperti sirih tetapi pada keseluruhannya lebih bulat dan runcing di hujung.

Batangnya kelihatan berparut kasar dengan diameter menghampiri 2 cm. Boleh tumbuh dengan mudah dan cepat melalui pembiakan keratan batang. Semua bahagian pepanjat ini mempunyai rasa yang sangat pahit. Oleh itu tumbuhan ini kadang kala ditanam oleh penduduk kampung dan kadang kala keratan batangnya boleh dibeli di pasar tani yang menjual tumbuhan ubatan tradisional dalam bentuk kering atau segar.

Kegunaan

Tumbuhan Tinospora tuberculata, Beumee ini digunakan sebagai tonik dan pelawas kencing. Akar, batang, daun serta ekstrak tumbuhan ini digunakan untuk merawat berbagai jenis demam. Kencing manis juga telah cuba dirawat dengan menggunakan akar petawali ini, walaupun keberkesanannya masih dipersoalkan.

Air rebuasn keseluruhan pokok ini dijadikan ubat kolera dan daunnya sebagai pembunuh cacing. Oleh kerana rasanya yang terlalu pahit, ia boleh menyebabkan muntah dan digunakan untuk memaksa muntah dalam marawat bisa patukan ular.

Petawali juga boleh diambil untuk kegunaan luaran sebagai ubat pupuk untuk gatal, luka dan membasuh mata yang bengkak atau pedih.

KESIMPULAN

Berdasarkan penjelasan di atas, kita tidak dapat nafikan bahawa tumbuh-tumbuhan seperti herba sememangnya mempunyai rahasianya tersendiri dan berhubung rapat dengan bidang perubatan dan sebagainya. Terpulanglah kepada sesiapa saja yang ingin membongkar segala rahasia khazanah berharga ini, walau apapun khazanah ini tetap bernilai selaras dengan arus ledakan teknologi maklumat yang dapat memudahkan lagi penyelidikan tentang tumbuhan atau herba sakti ini.

Jauh daripada itu , manusia kini telah beralih menumpukan dan menghampiri khazanah alam, yang Allah ciptakan untuk dimanafaatkan oleh manusia dan menjadi sebahagian daripada lambang keagungan-Nya. Segalanya ini atas kesedaran yang mendalam dengan pelbagai kesukaran dan pencarian penyelesaian masalah penyakit yang merembat manusia masa kini.

BIBLIOGRAFI

Azahari Ibrahim. 1997. Ubat-ubatan tradisional Arab dan Melayu. Penawar 200 Jenis

Penyakit. Darul Nu’man, Kuala Lumpur.

Hashnan Abdullah 1999.Mingguan Malaysia Ahad (5): Kesihatan : Keistimewaan Air rebusan Pokok Letup-letup. Hal. 27.

Abd. Rahman Md. Derus, 1998, Pengenalan Dan Penggunaan : Herba Ubatan. Multi

Triple Vision Sdn.Bhd.

Muhammad Zakaria dan Mustafa Ali Mohd. 1992. Tumbuhan dan Perubatan Tradisional. Penerbit Fajar Bakti, Kuala Lumpur.

Salam Ramadhan

Salam ramadhan buat semua pembaca blog ini.Semoga dapat meneruskan ibadat puasa hingga ke penghujungnya.

SELAMAT BERPUASA DAN SELAMAT HARI RAYA.